KERAIAN
Seseorang pegawai boleh memberi atau menerima daripada mana-mana orang apa-apa jenis keraian jika: (a) keraian itu tidak dalam apa-apa cara mempengaruhi pelaksanaan tugas-tugasnya sebagai seorang pegawai badan berkanun untuk kepentingan orang itu; dan (b) pemberian atau penerimaan keraian itu tidak dalam apa-apa cara menjadi tidak selaras dengan peraturan 3.
Tindakan
Walaupun dibenarkan menerima keraian, staf hendaklah memberi perhatian serius terhadap perkara berikut:
(i)dengan menerima keraian tidak menjejaskan kuasa dan tanggungjawabnya sebagai staf universiti untuk kepentingan pihak yang memberi keraian;
(ii)sensitiviti Jabatan di mana staf bertugas dan sensitiviti masyarakat terhadap tanggungjawab staf itu dan imej universiti; dan
(iii)kekerapan staf menerima keraian.
Nota: Keraian bermaksud jamuan untuk menghormati atau mengalu-alukan tetamu.
Rujukan
i. Peraturan 8,Jadual Kedua,Akta Sadan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605)
ii. Kod Nilai & Etika Warga UiTM
Penyampaian Notis, Dokumen Dan Sebagainya
1.Tiap-tiap pegawai hendaklah memberi Ketua Jabatannya alamat kediamannya atau apa-apa perubahan alamat itu dan alamat itu hendaklah menjadi alamatnya bagi maksud menyampaikan kepadanya apa-apa notis atau dokumen yang dikehendaki disampaikan di bawah Peraturan-peraturan ini atau bagi maksud berkomunikasi dengannya mengenai apa-apa perkara yang berhubung dengan Peraturan-peraturan ini.
2.Apa-apa notis, dokumen atau komunikasi yang ditinggalkan di atau diposkan ke atau dihantar dengan apa-apa cara lain yang munasabah ke alamat bagi penyampaian yang diberikan di bawah sub peraturan (1) hendaklah disifatkan telah disampaikan atau diberitahukan dengan sewajarnya kepada pegawai itu
Tindakan
Mohon semua staf UiTM mengemaskini alamat kediaman terkini di dalam sistem eKiosk Peribadi bagi memenuhi keperluan Peraturan 53,Akta 605 seperti yang dinyatakan.
Rujukan
- Peraturan 53, Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj)(Akta 605)
Palsukan Tandatangan Adalah Satu Jenayah
Barang siapa melakukan pemalsuan, dengan maksud supaya surat pemalsuan itu digunakan hendak menipu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan bolehlah juga didenda.
Tindakan
1. Staf yang didapati memalsukan tandatangan pegawai serta mengubah jumlah pendapatan di dalam penyata slip bulanan bagi tujuan memperdaya pihak bank atau koperasi untuk pinjaman peribadi boleh dilaporkan kepada pihak polis atau SPRM atas kesalahan jenayah yang dilakukan.Tindakan tatatertib sehingga pembuangan kerja boleh dikenakan kepada staf terlibat.
2. Sekiranya menghadapi tekanan melibatkan isu kewangan, sila maklum kepada Ketua Jabatan atau berjuma Pegawai Psikologi Universiti atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit(AKPK)
Rujukan
i. Seksyen 468 Kanun Keseksaan
ii. Seksyen 471 Kanun Keseksaan
iii. Surat Edaran Naib Canselor bertarikh 2 November 2016 - Peranan Ketua Jabatan untuk memantau staf di bawah seliaan
iv. Pekeliling Naib Censelor Bil.04 Tahun 2022-Pekeliling Kewajipan Mengisytihar Harta dan Liabiliti oleh staf Universiti Teknologi MARA di bawah Peraturan 9 dan 12 , Jadual Kedua, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj)2000(Akta 605)
377A Persetubuhan Yang Bertentangan Dengan Aturan Tabii
Mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain yang memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikatakan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
Tindakan
i. Staf yang didapati melakukan hubungan seks yang bertentangan dengan aturan tabii boleh dilaporkan kepada pihak polis atas kesalahan jenayah yang dilakukan. Tindakan tatatertib sehingga pembuangan kerja boleh dikenakan kepada penama yang terlibat.
ii. Sekiranya menghadapi tekanan yang melibatkan perlakuan tersebut, mohon maklumkan kepada Ketua Jabatan atau berjumpa untuk mendapatkan khidmat nasihat/kaunseling daripada Pegawai Psikologi Universiti/Pegawai Runding Cara daripada Agama Islam/Pegawai Psikologi daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
Rujukan
i.Seksyen 377A Kanun Keseksaan
ii.Surat edaran Naib Canselor bertarikh 18 Disember 2015 - Peranan Ketua Jabatan untuk memantau staf di bawah seliaan
Barang siapa, yang menjadi seorang penjawat awam, dan yang terpaksa di sisi undang-undang sebagai penjawat awam itu supaya jangan mengambil bahagian dalam perniagaan, mengambil bahagian dalam perniagaan, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Tindakan
Warga Perpustakaan UiTM boleh memohon kebenaran melakukan pekerjaan luar kepada pengurusan universiti melalui sistem HR2U.
Staf Universiti yang menerima atau mendapat untuk dirinya atau untuk orang lain sesuatu benda yang berharga, dengan tiada balasan atau dengan suatu balasan yang tidak mencukupi daripada seseorang yang ada apa-apa perhubungan dengan kerja-kerja rasmi seseorang Staf Universiti itu apabila didapati bersalah hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya,
Tindakan
- Staf universiti hendaklah membaca, memahami dan mematuhi
Kod Nilai & Etika Warga UiTM
- Dasar Pengurusan Hadiah dan Tajaan Universiti Teknologi MARA
- Staf universiti hendaklah tidak menerima sebarang hadiah / benda yang berharga daripada mana-mana orang yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengan staf berkenaan.
- Staf universiti hendaklah melaporkan kepada Unit Integriti ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jita terdapat aduan perlakuan penayah rasuah yang berlaku.
Barang siapa membawa atau memikat pergi seseorang perempuan yang menjadi dan yang ia ketahui, atau ada sebab mempercayai, sebagai isteri seseorang lelaki lain, daripada lelaki itu, atau daripada seseorang bertanggung menjaga perempuan itu bagi pihak lelaki itu, dengan niat supaya perempuan itu boleh melakukan persetubuhan yang ditegah dengan mana-mana orang, atau barang siapa menyembunyikan, atau menahan dengan niat itu seseorang perempuan tersebut, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Tindakan
Jagalah batas hubungan sesama staf. Tindakan mengganggu rumah tangga orang lain dengan cara memikat atau membawa pergi isteri orang adalah satu kesalahan jenayah. Tindakan selanjutnya di bawah peraturan tatatertib boleh dimulakan sekiranya staf terlibat dengan presiding jenayah.
Rujukan
- Seksyen 498, Kanun Keseksaan (Akta 574)
Tafsiran "Saudara" di bawah Akta SPRM
1.lsteri atau suami orang itu;
2.adik atau abang atau kakak orang itu;
3.adik atau abang atau kakak isteri atau suami orang itu;
4.orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke atas atau ke bawah dengan orang itu;
5.orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke atas atau ke bawah dengan isteri atau suami orang itu;
6.orang yang mempunyai pertalian nasab langsung ke bawah dengan orang yang disebut dalam perenggan (ii);
7.bapa saudara, emak saudara atau sepupu orang itu; atau
8.menantu orang itu
Tindakan
1.Staf hendaklah membuat pengisytiharan atas kepentingan yang timbul dan tidaklah terlibat dalam menggunakan jawatan atau kedudukan dalam membuat sebarang keputusan melibatkan saudara.
2.Staf juga dikehendaki keluar daripada bilik mesyuarat semasa agenda berkenaan dibincangkan.
3.Setiausaha/Urus setia mesyuarat hendaklah membuat catatan minit kepentingan yang diisytiharkan dan keputusan mesyuarat terhadap kepentingan yang diisytiharkan.
4.Staf juga dilarang membocorkan maklumat rasmi universiti kepada saudara dalam apa-apa jua urusan bagi kepentingan peribadi
Rujukan
- Seksyen 3, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (AKTA 694)
- Buku Kod Nilai & Etika Warga UiTM (2020)
- Garis Panduan Pengurusan Mesyuarat Dan Penulisan Minit Mesyuarat Universiti Teknologi MARA (2018)