9 Jamadilawal 1446H | 11 November 2024
Shah Alam — Pensyarah UIN Sunan Kalijaga Yogyakarta, Dr. Labibah, menyatakan penghargaan terhadap pengalaman latihan industri di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) yang disediakan bagi pelajar jurusan Library Science. Menurutnya, latihan ini memberikan perspektif baru dan pengalaman berharga bagi enam orang mahasiswa dari Fakultas Adab dan Ilmu Budaya UIN Sunan Kalijaga yang telah mengikuti program selama empat minggu.
Latihan industri ini merupakan kolaborasi antara UIN Sunan Kalijaga dan PTAR, di mana mahasiswa mendapat pendedahan kepada modul komprehensif dan pengurusan perpustakaan yang inovatif. Program ini diharapkan akan memperkukuhkan kerjasama strategik antara kedua institusi, memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dalam bidang pengurusan perpustakaan dan sains maklumat.
Sesi pembentangan akhir pelajar diadakan lewat petang tadi, dihadiri oleh Puan Andriyana Fatmawati, seorang pensyarah dari UIN Sunan Kalijaga, dan beberapa pustakawan berpengalaman yang bertindak sebagai penyelia modul latihan industri. Dalam sesi ini, para pelajar berpeluang untuk berkongsi pengalaman mereka, menerima maklum balas, serta saranan untuk penambahbaikan berdasarkan prestasi dan penglibatan mereka sepanjang tempoh latihan.
Sebagai tambahan, program ini turut merangkumi sesi lawatan yang membolehkan para peserta meninjau perkhidmatan dan koleksi perpustakaan PTAR serta bertukar ilmu dan amalan terbaik. Majlis penutup diadakan dengan penyampaian sijil tamat latihan kepada para pelajar, yang disampaikan oleh Ketua Pustakawan, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan.
Dr. Labibah berharap agar sinergi ini dapat terus mempererat hubungan antara UIN Sunan Kalijaga dan PTAR, membuka peluang kerjasama masa depan, dan menyemai ukhwah yang berpanjangan di kalangan akademia.
{gallery}2024/UINSunan{/gallery}