Library News

Speaker Corner Membincangkan Kepentingan Berkongsi dan Kesan Networking@Cable

Speaker Corner Membincangkan Kepentingan Berkongsi dan Kesan Networking@Cable

PERLIS, 18 Disember 2024 – Program Lead and Read: Speaker Corner yang diadakan secara dalam talian melalui Webex pada malam Rabu, 18 Disember 2024, telah berjaya menarik penyertaan seramai 240 peserta. Program ini dianjurkan oleh Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, Staf Residen Kolej (SRK), Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Perlis.Program ini menampilkan dua pembentang utama, iaitu Arifah Syaurah Badrul Hisham dan Nurul Fathihah Mohamad Ali, yang masing-masing membincangkan isu yang relevan dengan kehidupan moden.

Pembentang pertama, Arifah Syaurah Badrul Hisham, mengupas tajuk “Sharing is Caring” dengan menekankan betapa pentingnya sikap berkongsi dalam kehidupan seharian. Beliau berkongsi pandangan tentang bagaimana berkongsi pengetahuan, pengalaman, dan sumber dapat memperkukuh hubungan sesama manusia, serta meningkatkan nilai empati dan tolong-menolong dalam komuniti.

Sementara itu, Nurul Fathihah Mohamad Ali, pembentang kedua, membincangkan tajuk “Adakah Networking@Cable Baik atau Buruk Dalam Kehidupan?” Beliau menerangkan tentang networking merupakan satu aspek penting dalam kerjaya yang berlaku dalam setiap interaksi harian di tempat kerja dan luar tempat kerja. Beliau mengulas kedua-dua aspek positif dan negatif networking atau cable dalam membina hubungan sosial dalam industri atau bidang tertentu untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan perkembangan profesional.

Antara objektif utama program ini adalah untuk mempromosikan aktiviti berbentuk pembangunan intelektual melalui pembacaan, meningkatkan keyakinan diri bagi berkongsi idea dan pandangan, serta menggerakkan aktiviti galakan membaca untuk melahirkan warga yang berbudaya membaca dan mencintai ilmu.

Program ini berakhir dengan sambutan yang menggalakkan, sekaligus menjadikan program ini satu platform yang efektif untuk memperkaya pemikiran dan kesedaran mengenai isu-isu semasa.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.