Pada 28 Januari 2025, Amanat Ketua Pustakawan UiTM Tahun 2025 telah disampaikan oleh Ts. Hj. Azizi Bin Jantan (Ketua Pustakawan) secara maya dan ditonton bersama oleh kakitangan Perpustakaan Tun Dr. Ismail di Trading Room, PTDI 1. Program yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi ini disiarkan melalui pautan YouTube, memberikan platform penting untuk menyampaikan hala tuju dan fokus utama perpustakaan bagi tahun 2025.
Dalam amanat tersebut, Ketua Pustakawan telah menggariskan 5 Fokus Utama Perpustakaan Tun Abdul Razak yang menjadi panduan strategik untuk tahun ini. Fokus pertama adalah Digitalisasi Perpustakaan, yang menekankan usaha memperluaskan akses kepada bahan perpustakaan melalui platform digital bagi memenuhi keperluan pengguna. Fokus kedua adalah Penciptaan Pengetahuan, iaitu menggalakkan inisiatif penghasilan ilmu baharu melalui penyelidikan, penerbitan, dan perkongsian pengetahuan. Selain itu, Personalised Services menjadi fokus ketiga, dengan memberi perkhidmatan yang disesuaikan dengan keperluan individu pengguna bagi meningkatkan pengalaman mereka di perpustakaan. Fokus keempat ialah Kecemerlangan Bakat, yang menumpukan kepada pembangunan kemahiran dan kompetensi kakitangan bagi menyokong kecemerlangan institusi. Akhir sekali, Kolaborasi Komuniti diperkukuhkan untuk memperluaskan manfaat perpustakaan kepada komuniti.
Sesi ini telah memberi inspirasi kepada kakitangan untuk terus berusaha mencapai matlamat perpustakaan dengan lebih komited dan bersemangat. Amanat ini bukan sahaja menjadi panduan, malah menjadi motivasi kepada semua pihak untuk memberikan yang terbaik dalam usaha menyokong pencapaian UiTM sebagai institusi unggul. Dengan hala tuju yang jelas, diharapkan semua kakitangan dapat merealisasikan fokus yang telah digariskan demi manfaat bersama.
Pautan hebahan media sosial : hebahan media sosial