Library News

Perpustakaan UiTM Bakal Lancar Pengajaran Literasi Atas Talian Berpandukan Teknologi Kecerdasan Buatan

Shah Alam, 26 Februari 2025 – Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) melangkah setapak ke hadapan dalam dunia digital dengan memperkenalkan pengajaran literasi maklumat atas talian yang berpandukan teknologi kecerdasan buatan (AI). Inisiatif ini diumumkan dalam Bengkel Information Literacy: Physical to Online yang berlangsung selama dua hari pada 24-25 Februari 2025 di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam.

Bengkel ini berjaya menghimpunkan seramai 40 orang Instruktor Program Literasi Maklumat, terdiri daripada Staf Pengurusan dan Profesional serta Staf Pelaksana Perpustakaan UiTM. Sebanyak sembilan modul Program Literasi Maklumat telah dibangunkan dalam usaha meningkatkan kemahiran dalam penyediaan bahan pengajaran literasi atas talian yang lebih efektif dan inovatif.

Menurut Ketua Pustakawan Tuan Ts. Haji Azizi Bin Haji Jantan, hasrat utama pembangunan modul ini adalah untuk menghasilkan kandungan pembelajaran yang lebih berkualiti, bukan sahaja bagi modul sedia ada, tetapi juga bagi modul baharu yang bakal diperkenalkan kepada warga UiTM. Pendekatan ini turut memberi peluang kepada Perpustakaan UiTM untuk mengintegrasikan kecerdasan buatan dalam pembangunan bahan pengajaran literasi maklumat secara lebih interaktif dan berimpak tinggi.

“Saya berharap pembangunan modul dengan suntikan Artificial Intelligence (AI) memenuhi elemen Input, Process, Outcome, Output dan Impact (IPOOI) yang perlu ada pada setiap modul yang dihasilkan bagi mengenal pasti tahap literasi maklumat dalam kalangan pengguna perpustakaan,” ujar wakil pihak pengurusan.

Dengan tema Future Library Learning, pembangunan literasi maklumat ini dijangka memacu pembelajaran digital dan fleksibel yang dapat memenuhi keperluan semua kelompok pengguna perpustakaan UiTM. Teknologi AI akan digunakan untuk menyesuaikan kandungan pembelajaran dengan keperluan pengguna, sekali gus memperkukuhkan peranan perpustakaan sebagai pusat penyebaran ilmu yang lebih dinamik dan berorientasikan masa hadapan.

Program literasi maklumat atas talian ini dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat dan bakal memberi manfaat kepada seluruh warga UiTM. Ke arah transformasi pembelajaran yang lebih moden, Perpustakaan UiTM terus komited dalam memastikan pengguna memperoleh akses kepada maklumat dengan cara yang lebih mudah, efisien dan berkualiti.

Please publish modules in offcanvas position.