Library News

Naskhah Cendekia Siri 1: Kupasan Buku Keluarga Gerilya Karya Pramoedya Ananta Toer

Shah Alam, 25 Februari 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM, hari ini menjadi saksi kepada sesi kupasan ilmiah pertama dalam siri Naskhah Cendekia, yang membawakan ulasan buku Keluarga Gerilya hasil karya penulis tersohor Indonesia, Pramoedya Ananta Toer. Sesi ini disampaikan oleh Tuan Haji Muhammad Nizam Noordin, Pendaftar UiTM, dalam satu majlis ilmu yang dihadiri oleh warga universiti dan pencinta sastera.

Buku Keluarga Gerilya, yang telah melalui beberapa cetakan semula termasuk di Malaysia, menggambarkan pengorbanan sebuah keluarga dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dari penjajah Belanda di Jakarta. Karya ini bukan sekadar catatan sejarah, tetapi turut memaparkan kritikan sosial yang sarat dengan emosi, memperlihatkan penderitaan dan ketabahan sebuah keluarga kecil dalam arus perjuangan yang getir.

Menurut Tuan Haji Muhammad Nizam, buku ini menyampaikan mesej mendalam tentang harga kebebasan dan pengorbanan yang diperlukan untuk meraih kemerdekaan. “Pramoedya Ananta Toer menulis dengan penuh kejujuran, menggambarkan realiti peperangan yang menuntut bukan sahaja darah dan nyawa, tetapi juga nilai kemanusiaan yang terpaksa dikorbankan,” katanya dalam sesi kupasan.

Sesi Naskhah Cendekia ini merupakan inisiatif Perpustakaan UiTM dalam usaha membudayakan ilmu dan diskusi ilmiah dalam kalangan warga universiti. Program ini dijangka diteruskan dengan lebih banyak siri ulasan buku yang bakal memberi manfaat kepada mahasiswa dan masyarakat akademik secara keseluruhannya.

Dengan wacana sebegini, diharapkan lebih ramai akan terinspirasi untuk mendalami karya-karya sastera besar yang bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menyentuh realiti kehidupan dan perjuangan.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.