Kajang, 26 Februari 2025 | 27 Syaaban 1446H – Ketua Pustakawan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan kunjungan hormat ke kediaman Sasterawan Negara ke-6, Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh, pagi tadi.
Kunjungan ini merupakan penghormatan kepada tokoh besar dalam dunia sastera yang telah banyak berjasa dalam memartabatkan khazanah kesusasteraan dan pemikiran Nusantara. Dr. Muhamad, yang dikenali sebagai seorang pejuang jiwa sastera dan falsafah ilmu, menyambut baik usaha Perpustakaan UiTM dalam memperkasa budaya ilmu dalam kalangan generasi muda.
Dalam pertemuan penuh makna ini, beliau turut menyumbangkan dua naskhah karya tulisannya bertajuk Belajarlah Jadi Atuk dan Wan, yang didedikasi khas untuk cucundanya. Karya tersebut kini menjadi sebahagian daripada koleksi Perpustakaan UiTM dan akan dipelihara sebagai amanah berharga.
Perpustakaan UiTM terus komited dalam memperkukuh peranan sastera sebagai asas tamadun yang berjaya, sejajar dengan penghargaan Dr. Muhamad terhadap kepentingan ilmu dalam membentuk jati diri bangsa.